Monday, 24 August 2015

SIKAP SEORANG ANAK LELAKI YANG MELARANG BAPANYA MENGAMBIL SEDIKIT HARTANYA YANG TERJADI PADA ZAMAN RASULULLAH

Disini kami kemukakan sebuah hadis yang agak panjang tentang sikap seorang anak lelaki yang melarang bapanya mengambil sedikit hartanya yang terjadi pada zaman Rasulullah SAW.

Diriwayatkan dari jabir Ibnu Abdillah ia berkata bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya ayahku telah mengambil hartaku".

Kemudian malaikat Jibril pun turun kepada Rasulullah SAW dan berkata: "Allah Azza Wajalla menyampaikan salam kepadamu. Apabila orang tua itu datang kepadamu maka tanyalah kepadanya tentang sesuatu yang dikatakan dalam dirinya dan hanya di dengar oleh telinga saja".

Tatkala orang tua itu datang, Rasulullah SAW pun bertanya: "Mengapa anak lelakimu mengeluh tentang sikapmu, dan apakah engkau ingin mengambil hartanya ?".

Orang tua itu pun berkata: "Tanyalah kepada anak lelaki ku itu ya Rasulullah, apakah aku menggunakannya bagi salah seorang ibu saudaranya atau bagi diriku".

Rasulullah SAW berkata: "Janganlah ceritakan hal ini kepada kami, beritahulah aku tentang sesuatu yang engkau ucapkan dalam dirimu dan hanya didengar oleh kedua telingamu". (sesuai dengan perintah malaikat Jibril tadi)

Orang tua itu pun berkata: "Demi Allah, ya Rasulullah, Allah SWT selalu menambah keyakinan kami terhadap diri baginda. Aku telah mengucapkan sesuatu dalam diriku yang hanya didengar oleh kedua telingaku".

Rasulullah SAW bersabda: "Katakanlah agar saya dapat mendengarnya". Orang tua itu pun berkata:

"Ku beri engkau makan ketika masih bayi dan ku biayai engkau ketika dewasa.

Engkau minum dari rezeki yang kuberikan kepadamu.

Bila engkau sakit di waktu malam, aku tidak tidur dan gelisah semalaman kerana penyakitmu.

Seakan akulah yang terkena penyakit itu bukannya engkau sehingga akhirnya aku menangis.

Diriku takut jika engkau binasa.

Supaya engkau tahu bahawa maut memiliki waktu tertentu.

Tatkala engkau menjadi besar dan mencapai akhir usia, aku pun tidak mengharapkanmu.

Engkau balas aku dengan kekerasan dan kebengisan, seakan-akan engkaulah pemberi kenikmatan dan kurnia.

Jika engkau tidak memelihara hak aku sebagai seorang bapa cukupah engkau lakukan seperti yang dilakukan tetangga yang berdekatan.

Lalu engkau penuhi hak tetangga terhadapku dan tidak kikir kepadaku dengan harta yang bukan hartamu".

Ketika itu Rasulullah SAW memegang leher baju anak lelaki tersebut dan berkata: "Engkau dan hartamu milik ayahmu".

Dengan hadis diatas maka lebih jelaslah bagi kita betapa penting tanggungjawab anak lelaki terhadap kedua ibu bapa. Walaupun dia sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan isteri dan anak-anaknya tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapa tidak boleh diabaikan.

Sekiranya ibu bapanya miskin tidak  berharta, sebagai anak wajiblah membantu kedua ibu bapanya dan tidak menjejaskan nafkahnya kepada ahli keluarganya sendiri. Kerana keredaan Allah SWT bergantung kepada keredaan ibu dan bapa.

Anak lelaki perlu sentiasa bertanya khabar dan menziarahi kedua ibu bapanya terutama sekiranya mereka telah tua dan uzur pula.  Amalan ini penting kerana kebahagiaan itu bukan terletak pada harta sahaja tetapi ianya terletak di hati dan sanubari cinta dan kasih kepada mereka semata-mata kerana mencari keredaan Allah SWT.

Isteri tidak boleh menghalang atau menyekat perhubungan kasih sayang dan prihatin suaminya kepada kedua ibu bapanya kerana hak anak tetapi wujud  walaupun dia sudah mempunyai keluarganya sendiri.

Isteri harus menyayangi dan mengasihi ibu dan bapa mertuanya dan dia tidak boleh hanya mementingkan ibu dan bapanya  sahaja kerana anggaplah bahawa ibu bapa suaminya adalah sama seperti ibu dan bapanya sendiri.

Oleh itu seorang suami janganlah terlalu mengikut kehendak isterinya sekiranya dia menghalang suaminya berbaik-baik dengan kedua ibu bapanya sendiri hingga dia tergolong sebagai anak yang derhaka dan tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT, nauzubillahi minzalik.

Jadikanlah ia pengajaran untuk kita semua. Tanggungjawab anak lelaki bukan perlu dijalankan seminggu sekali akan tetapi SENTIASA.... Maka kita sebagai isteri dan suami sendiri kenalah peka akan hal ini. Zaman sekarang ni hal-hal menjaga kedua ibubapa kebanyakkannya diletakkan ke atas anak perempuan sedangkan mengikut hukum anak perempuan hak mereka selepas berkahwin adalah di bawah hak suami... Waallahualam... 


No comments:

Post a Comment